fbpx

Hakim sekat dasar imigresen Biden 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEKUMPULAN pendatang tanpa izin dari Amerika Tengah dan Selatan ditahan selepas menyeberang ke Amerika Syarikat di Ruby, Arizona pada 25 Jun lalu. – AFP 

HOUSTON, Texas – Seorang hakim negeri Texas mengarahkan pemansuhan sementara terhadap rombakan yang akan memudahkan pasangan kepada warga tempatan mendapatkan status sah di Amerika Syarikat (AS) sekali gus tamparan kepada dasar pembaharuan imigresen terbesar oleh Presiden Joe Biden.

Hakim J. Campbell Barker membenarkan penangguhan dasar tersebut selama 14 hari susulan bantahan  oleh kerajaan 16 negeri yang diperintah Parti Republikan.

Pada Jun lepas, Biden mengumumkan dasar baharu itu bagi memudahkan proses kewarganegaraan kepada kira-kira setengah juta pendatang asing yang berkahwin dengan rakyat AS.

16 negeri yang membawa tuntutan mahkamah itu berkata, dasar Biden menyebabkan mereka terpaksa membelanjakan berjuta-juta dolar wang rakyat  termasuk peruntukan penjagaan kesihatan, pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang bagi manfaat pendatang asing.

“Ini baru langkah pertama, kita akan terus berjuang untuk Texas, negara ini dan kedaulatan undang-undang,” kata Peguam Negeri Texas, Ken Paxton dalam hantaran di laman X.

Pentadbiran Biden bergelut untuk menangani masalah imigresen selepas isu panas itu  memecahbelahkan rakyat AS terutamanya menjelang pilihan raya Presiden pada November ini yang akan menyaksikan Naib Presiden Kamala Harris menentang calon Parti Republikan, Donald Trump.

Parti Demokrat berusaha keras untuk mengimbangi dasar lebih ketat  terhadap pendatang tanpa izin sambil memperkenalkan pembaharuan kepada sistem imigresen negara yang dilihat tidak cekap.

Kempen Trump untuk White House pula tertumpu kepada menggambarkan AS sebagai sebuah negara yang dibelenggu ‘pencerobohan’ pendatang tanpa izin.

Dasar imigresen baharu itu terpakai kepada mereka yang berada di AS selama sekurang-kurangnya 10 tahun dan berkahwin dengan warganegara AS sebelum 17 Jun 2024.

Ia juga terpakai kepada kira-kira 50,000 anak tiri kepada warga AS.

Mereka yang diluluskan akan dibenarkan untuk bekerja dan tinggal di AS sehingga tiga tahun. Sepanjang tempoh tersebut mereka perlu memohon kad hijau yang merupakan laluan kepada kewarganegaraan penuh. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI