KUALA TERENGGANU – Dua atlet wanita yang menimbulkan kontroversi menyertai acara terjun dalam Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak tanpa kebenaran kerajaan negeri Terengganu tetap dipertimbang untuk menerima insentif ekoran kejayaan merangkul dua pingat gangsa.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua atlet Terengganu termasuk Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran yang meraih pingat pada Sukma Sarawak layak dipertimbangkan untuk menerima insentif yang akan ditentukan kelak.
“Inisiatif tetap ada, saya akan tunggu laporan penuh (prestasi Kontinjen Terengganu) sebelum buat keputusan.
“Ini juga termasuk apa diperoleh pihak yang menghantar (atlet terjun wanita) tanpa melalui kerajaan negeri,” katanya selepas mengiringi Yang diPertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin yang berkenan merasmikan program pembersihan Pantai Batu Burok di sini semalam.
Ahmad Samsuri berkata, bentuk insentif terbabit akan ditentukan selepas kerajaan negeri Terengganu menerima laporan penuh prestasi kontinjen negeri dalam temasya sukan dwitahunan tersebut.
Kosmo! hari ini melaporkan penyertaan Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora mewakili Terengganu dalam Sukma Sarawak mencetus polemik kerana tidak mematuhi pemakaian patuh syariah ditetapkan untuk atlet negeri itu.
Wakil PRAT kemudiannya membuat permohonan maaf kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Karim atas kesilapan menghantar atlet terjun wanita beragama Islam tanpa pengetahuan dan kebenaran kerajaan negeri.
Biarpun dilanda kontroversi, Uzlifatil Jannah dan Ilyssa Ixora tetap cemerlang meraih dua pingat gangsa dalam acara
10 meter platform seirama wanita dan satu meter papan anjal.
Dalam pada itu, kontinjen Terengganu mencatat prestasi terburuk dalam tempoh 16 tahun penyertaan dalam Sukma apabila sekadar berada pada kedudukan kelima terbaik dengan pungutan 41 emas, 36 perak dan 47 gangsa. – KOSMO! ONLINE