ZANDVOORT, BELANDA – Lando Norris menyifatkan satu tindakan bodoh untuk memikirkan pemburuan gelaran dunia Formula Satu (F1) musim ini selepas berjaya mencipta kemenangan pada Grand Prix (GP) Belanda kelmarin.
Kemenangan kedua pelumba Britain itu pada musim ini lebih bermakna apabila pemandu McLaren tersebut berjaya mengatasi Max Verstappen yang menerima sokongan hampir 100,000 penyokong memakai jersi berwarna oren membanjiri Litar Zandvoort.
Norris menunjukkan prestasi cemerlang dalam perlumbaan tersebut, meninggalkan Verstappen dengan jurang perbezaan sebanyak 22.896 saat.
Namun, dia masih ketinggalan 70 mata di belakang Verstappen dalam perebutan gelaran dunia walaupun terdapat baki sembilan perlumbaan lagi musim ini.
Ketika ini, Verstappen yang telah meraih tujuh kemenangan GP kekal berada di puncak dengan mengumpul 295 mata keseluruhan, manakala Norris berada di kedudukan kedua menerusi 225 mata.
“Saya telah bekerja keras sepanjang tahun dan saya masih ketinggalan 70 mata di belakang Max (Verstappen). Jadi, adalah bodoh untuk memikirkan tentang perkara itu buat masa ini.
“Saya hanya fokus pada satu demi satu perlumbaan dan terus melakukan apa yang saya lakukan sekarang kerana tidak ada gunanya untuk berfikir ke hadapan mengenai perkara lain,” katanya.
Tiada pemandu F1 pernah mengatasi defisit sebesar itu, tetapi Penasihat Sukan Red Bull, Helmut Marko tetap bimbang dengan kebangkitan pasukan-pasukan lain pada musim ini.
“Seperti yang dikatakan Max sebelum rehat musim panas lalu, pasukan perlu bekerja lebih keras dan mencari penambahbaikan kerana kejuaraan mereka berada dalam ancaman,” kata Marko. – AGENSI