PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini dipersembahkan taklimat mengenai pelaksanaan sambutan Hari Kebangsaan 2024, di Istana Negara.
Menerusi kenyataan di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, taklimat berkenaan dipersembahkan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil kepada Seri Paduka Baginda.
Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Semalam Fahmi dilaporkan berkata, pelbagai aspek sambutan akan disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda, termasuk berkaitan laluan yang boleh digunakan orang ramai.
“Ia termasuk pengangkutan awam yang disediakan, seperti ‘teksi air’ percuma yang akan beroperasi di beberapa lokasi di sekitar Tasik Putrajaya bagi membolehkan orang ramai meletakkan kenderaan mereka di kawasan ditetapkan.
“Di satu lokasi, saya difahamkan ada 7,000 petak letak kereta disediakan. Jadi, kita harap orang ramai boleh rancang perjalanan untuk ke tapak sambutan Hari Kebangsaan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE