PETALING JAYA – Seekor kucing bukan sahaja dipuji comel, malah mengundang tanda tanya apabila menjadi ‘pemandu pelancong’ buat para pendaki di Gunung Bunga Buah, Hulu Selangor.
Menerusi video yang dimuat naik @hazwan_r di akaun TikTok, kucing berwarna putih itu kelihatan gemuk dan bersih seolah-olah ada penjaganya.
Menurut pendaki tersebut, kucing itu dijumpai di atas gunung yang jaraknya kira-kira tujuh kilometer dari tempat mula mendaki.
Bagaimanapun, penjaga kucing berkenaan tidak kelihatan di mana-dimana, sekali gus mengundang persoalan kepada para pendaki dan pengguna media sosial.
“Kucing misteri Gunung Bunga Buah. Kucing ni ‘guide’ kami sampai separuh jalan, kemudian dia patah balik naik puncak.
“Pelik juga kenapa tak turun sekali. Sebab dah bawa turun pun, kucing tu tak nak. Mungkin adalah tu ‘tuan’ dia yang jaga dekat puncak.
“Kucing ni tak nak makan, bukan kami tak bagi makan. Dia pun macam dah kenyang. Nampak gemuk bersih macam ada ‘tuan’ yang jaga,” tulis pendaki itu.
Sehingga kini videonya mendapat lebih 155,500 tontonan, 18,900 tanda suka dan 1,145 perkongsian.
Sementara itu dalam video lain pula, seorang pendaki lain berkongsi pengalaman terjumpa kucing misteri tersebut di Sungai Kedondong yang jaraknya dengan Gunung Bunga Buah adalah lebih 22 kilometer.
Hal itu mengundang misteri kepada orang ramai kerana tertanya-tanya, bagaimana kucing tersebut boleh berpindah dari satu kawasan ke kawasan lain dalam jarak yang jauh.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati, ramai yang geram melihat kecomelan kucing tersebut sekali gus tertanya-tanya siapakah pemiliknya.
“Bersihnya kucing ni, padahal kawasan mendaki tu berlecak tau. Gemuk pula tu, mesti ada penjaga punya ni,” komen Asraf.
“Kucing ni kita orang jumpa Sabtu lepas masa mendaki. Jumpa dekat jalan yang bertar, pastu dia ikut masuk dalam hutan. Bagi makan, tak nak..,” komen Najwa.
“Tengok kucing ni bulu bersih, gebu dan badan sihat elok. Harap pengunjung yang jumpa, jangan bawa balik kucing ni. Takut ada ‘penjaga’ yang mencari,” komen Atyn pula. – KOSMO! ONLINE
@hazwan_rKucing misteri gunung bunga buah.. Guide kami turun sampai separuh jalan dia patah balik naik peak..