KANGAR – Seorang tukang urut dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas empat pertuduhan memiliki dadah jenis erimin 5 serta ganja termasuk dalam bentuk minyak, Januari lalu.
Majistret, Nurshahida Abdul Rahim menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lee Chin Loon, 47, yang masih bujang membuat pengakuan bersalah atas empat pertuduhan dihadapinya.
Dia dikenakan hukuman penjara 30 bulan dan tiga kali sebatan atas kesalahan memiliki 26.07 gram ganja dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan memiliki 0.20 gram erimin 5.
Chin Loon juga dihukum penjara 18 bulan bagi kesalahan memiliki 500 mililiter (ml) minyak ganja atau delta-9 tetrahydrocannabinol (THC) dalam bentuk cecair serta dipenjara 12 bulan memiliki 25 gram ganja dalam bentuk bahan melekit.
Majistret Nurshahida memerintahkan semua hukuman penjara bagi empat pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula hari ini menyebabkan tertuduh hanya perlu menjalani penjara selama 30 bulan.
Mengikut pertuduhan, Chin Loon didakwa memiliki dadah jenis ganja, erimin 5, minyak ganja dan ganja dalam bentuk bahan melekit di Pos Kawalan Imigresen Wang Kelian dekat Padang Besar kira-kira pukul 3 petang, 8 Januari lepas.
Pendakwaan bagi pertuduhan memiliki 26.07 gram ganja dilakukan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun serta dikenakan sebatan tidak kurang tiga kali dan tidak lebih sembilan kali, jika sabit kesalahan.
Sementara bagi tiga pertuduhan lain, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Nurul Idayu Ismail manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nurul Hanani Che Nor. – KOSMO! ONLINE