fbpx

Tujuh peguam PN sedia bela Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhyiddin.

KOTA BHARU – Seramai tujuh peguam bela bersedia untuk menyertai pasukan pembelaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin jika khidmat mereka diperlukan.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, mereka merupakan barisan peguam bagi Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dengan salah seorang daripada mereka ialah Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurutnya, meskipun Muhyiddin sudah mempunyai barisan peguam peribadinya, ketujuh-tujuh peguam berkenaan tetap bersedia kerana kepakaran mereka mungkin diperlukan.

“Jika diperlukan, barisan peguam peribadi Muhyiddin dan tujuh peguam Bersatu boleh bergabung tenaga. Siapa yang mengetuai pasukan akan diputus oleh beliau sendiri termasuk juga siapa yang akan menyertai barisan peguam belanya nanti.

“Jadi, esok beliau akan hadir ke Mahkamah Sesyen Gua Musang untuk mendengar pertuduhan dan saya sendiri akan hadir beri sokongan moral,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Jiwa Merdeka dan Pengagihan Bendera Malaysia di sebuah hotel, di sini hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, Muhyiddin akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Gua Musang dekat sini, esok susulan ucapan dalam ceramahnya yang dipercayai menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R) semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI