PUTRAJAYA – Kerajaan belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak pembangkang mengenai draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan untuk Ahli Parlimen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, maklum balas mengenai MoU itu sepatutnya dijelaskan oleh pembangkang sendiri.
“Tanya pembangkang. Belum dapat lagi, belum dapat respon daripada mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis TVET Competent Suruhanjaya Tenaga (ST), di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan sudah mendapat draf MoU itu.
Takiyuddin dilaporkan berkata, PN dilaporkan akan mengemukakan draf MoU itu kepada Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin serta beberapa pimpinan lain untuk membuat keputusan. – KOSMO! ONLINE