KUALA LUMPUR – Indah Water Konsortium (IWK) akan melakukan pemecahan serpihan sejauh 69 meter dalam usaha mencari seorang wanita warga India yang hilang dalam kejadian mendapan tanah berhampiran Masjid India sejak Jumaat lalu.
Operasi pemecahan serpihan itu dilakukan menggunakan ‘jetter’ bermula dari lokasi tanah jerlus sehingga ke lurang kumbahan hilir.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih dijalankan dengan pembabitan pelbagai agensi.
Katanya, pemeriksaan juga dijalankan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Loji Pantai Dalam, di sini.
“Pihak IWK telah melaksanakan ‘flushing’ di lurang kumbahan lima mulai lewat malam tadi sehingga pukul 2 pagi tadi.
“Bagaimanapun, sehingga ini pihak IWK masih belum menemui sebarang petunjuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, orang awam dinasihatkan untuk tidak berada berhampiran lokasi insiden bagi memastikan kelancaran kerja pencarian dilakukan oleh pasukan SAR.-KOSMO! ONLINE.