KUALA LUMPUR – Ruang yang sempit dan gelap ketika menyelam di dalam air sisa kumbahan antara cabaran pasukan Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat Bomba (STORM) dalam mencari mangsa insiden tanah jerlus, di Jalan Masjid India, di sini.
Perkara itu dikongsikan Pegawai Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Alimaddia Bukri menerusi aplikasi TikToknya.
Menurutnya, cabaran menjadi lebih besar sekiranya berlaku hujan di lokasi kejadian.
Tambah beliau, pasukannya tetap mempunyai perasaan takut dan berdebar apabila turun ke bawah saliran pembentung tetapi tetap meneruskan tugas yang diamanahkan serta berserah kepadaNya.
“Dalam itu ada saliran kumbahan dan saliran lain, arus deras dengan penglihatan terhad (zero visibility) serta akses kecil menyukarkan pergerakan dan pencarian mangsa.
“Kami berbincang dan mendapatkan nasihat daripada pakar yang berkaitan, sebelum membuat apa-apa keputusan dalam operasi ini,” katanya yang berkongsi video berkenaan di dalam aplikasi TikTok.
Selesai melakukan selaman, beliau berkata penyelam terlibat akan melakukan ‘decontamination’ bagi mengelak sebarang bahaya atau penyakit yang mungkin tersebar di ruangan bawah tanah itu.
“Bagi mengurangkan risiko ketika selaman, kami (bomba) akan kurangkan risiko tersebut dengan kepakaran yang ada dan guna kelengkapan serta peralatan perlindungan diri (PPE) yang diperlukan,” katanya.
Alimaddia berkata, beliau berterima kasih kepada orang ramai yang mendoakan pasukan penyelamat dalam operasi itu.-KOSMO! ONLINE.