fbpx

Tauke stesen minyak kaut RM400juta seleweng diesel, suap penguat kuasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak direman di Mahkamah Sibu, Sarawak, hari ini.

SIBU – Dua beradik yang juga pengusaha stesen minyak direman hari ini kerana terbabit sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dan merasuah pegawai agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan.

Majistret Romaroi Jonoi membenarkan suspek lelaki berusia lingkungan 40-an direman selama empat hari sehingga Khamis ini.

Sementara itu, adik perempuannya berusia sekitar 30-an direman selama satu hari sehingga esok selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sibu, hari ini.

Menurut sumber, suspek dua beradik ditahan bersama dua lagi lelaki serta seorang wanita dalam Op Liter dijalankan Bahagian Operasi Khas dan Skuad Taktikal Khas SPRM,

Operasi itu turut mendapat kerjasama pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh simpanan minyak diesel di Sungai Bidut, di sini.

Katanya, kelima-lima suspek ini dipercayai terbabit dengan sindiket penjualan minyak diesel bersubsidi bagi kegunaan nelayan, namun dijual pada kadar harga lebih tinggi kepada pembeli dari luar negara.

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2012 dan mengaut keuntungan sehingga RM400 juta.

“Mereka disyaki turut membayar wang rasuah kepada beberapa penguat kuasa sebuah agensi penguat kuasa bagi mengelak dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah,” katanya.

Menerusi operasi itu, SPRM telah menyita dua tongkang dan 30 tangki simpanan minyak yang dipercayai mengandungi kira-kira 1.6 juta liter minyak diesel.

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta susulan tangkapan terhadap kelima-lima suspek berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap dua beradik berkenaan bersama dua lagi lelaki dan wanita dalam operasi diadakan semalam.

Bagaimanapun, dua lelaki dan seorang wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan SPRM hari ini.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan serta Akta Kawalan Bekalan 1961. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI