fbpx

‘Pukul 9 malam kami kumpul buat kerja’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENDUDUK bergotong-royong menghias blok PPR Gua Musang sempena sambutan Hari Kebangsaan.

GUA MUSANG – Demi semangat cinta akan negara serta menghargai jasa pejuang kemerdekaan, penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, di sini, sanggup berhabis duit dan bersengkang mata untuk menghias blok kediaman sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-67 tahun ini.

Ketua Blok K, Shukri Idris, 56, berkata, kebanyakan penduduk tidak berkira untuk membuat kutipan sehingga mencecah ribuan ringgit bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.

Katanya, kos untuk membeli bendera dan hiasan blok adalah daripada duit sumbangan penduduk dan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kami bekerjasama memasang Jalur Gemilang sehingga ke tingkat empat bangunan PPR. Aktiviti sebegini memberi ruang kepada kami untuk merapatkan hubungan antara penghuni.

“Alhamdulillah, kerjasama daripada penduduk sangat menggalakkan dan setiap tahun sentiasa bersemangat menghias blok dengan Jalur Gemilang dan bendera 14 negeri,” katanya.

Ketua Blok B, Zulkiflee Ibrahim, 62, pula berkata, kira-kira 300 penduduk bekerjasama menghias Blok B bermula awal bulan ini sempena kebangsaan.

“Penduduk bergotong-royong hampir setiap hari. Kami akan berkumpul pukul 9 malam pada hari bekerja.

“Jika hari cuti, kami bergotong-royong bermula pukul 8 pagi. Penduduk lebih bersemangat untuk menghias blok masing-masing,” katanya.

Seorang penduduk, Ummi Kalsom Zulkiflee, 26, berkata, aktiviti memasang bendera dan menghias blok sempena kemerdekaan dapat menyuntik semangat patriotisme orang muda.

“Penduduk tidak kira remaja atau warga emas meraikan kemerdekaan dengan menghias blok kediaman masing-masing setiap tahun.

“Kami gembira apabila setiap tahun, 12 blok di PPR ini akan dihiasi dengan pelbagai saiz ben­dera dan replika yang bertemakan Hari Kebangsaan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI