KOTA TINGGI – Persoalan mengenai calon yang akan menjadi taruhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, pada bulan depan bakal terjawab hari ini.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Presiden parti, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka akan mengadakan pertemuan bersama kepimpinan UMNO Johor yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di kediaman rasmi Menteri Besar, Johor Bahru.
Ditanya mengenai sama ada kuota calon wanita akan dikekalkan di DUN Mahkota, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi memilih untuk mengunci mulut.
“Kita ada mesyuarat hari ini (di Saujana) dengan UMNO Johor, Presiden (Ahmad Zahid) akan hadir.
“(Soal calon), Kena tanya Presiden lah, itu tunggu hasil mesyuarat,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Tapak Projek Pemindahan Ilmu (KTP) Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT), di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang berkata, UMNO bertekad untuk mempertahankan kerusi DUN Mahkota pada PRK yang dijadualkan pada 28 September depan. – KOSMO! ONLINE