fbpx

‘Pergi jabatan kecemasan tengah malam sebab tidak semua berkemampuan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kecoh di media sosial sejak semalam mengenai perbalahan melibatkan orang ramai dan doktor yang mendakwa unit kecemasan di hospital kerajaan sering dipergunakan untuk merawat kes-kes ‘remeh’.

Doktor itu menerusi ciapan di platform X sebelum ini berkata, pesakit yang mengalami demam biasa, selesema, sakit perut, sakit lutut atau lain-lain kes tidak seharusnya datang ke jabatan kecemasan pada waktu lewat tengah malam.

Sebaliknya beliau berkata, pesakit itu perlu menunggu keesokan harinya untuk ke klinik kesihatan bagi mendapatkan rawatan daripada doktor.

“Orang kita suka ‘abuse’ (dera) jabatan kecemasan. Macam ‘buffet free for all’. Kita boleh kesan pesakit datang jabatan kecemasan berapa kali.

“Ada yang sebulan dah lima kali datang. Demam datang, selesema datang, gatal lutut datang, sakit perut datang. Tak tahu ke maksud kecemasan?

“Pukul 2 pagi datang sebab demam sudah dua hari, kau rasa? Kalau demam tidurlah di rumah esok pagi pergi klinik, tapi sebab benda percuma. Orang datang macam ‘buffet’ la,” ciapnya.

Doktor tersebut turut menyertakan beberapa gambar dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) yang memaparkan senarai kes-kes yang dikategorikan sebagai kecemasan.

Ciapan pegawai itu mengundang rasa marah dalam kalangan pengguna media sosial yang mempersoalkan kewibawaannya sebagai petugas kesihatan dalam memberikan rawatan kepada mereka yang memerlukan.

Seorang pengguna dikenali sebagai Barathi Selvam berkata, pesakit datang ke jabatan kecemasan bukan semata-mata sebab percuma, namun untuk mengetahui keadaan kesihatan sebenar daripada doktor.

“Orang awam bukan pakar. Mereka ada masalah kesihatan, jadi datang ke hospital. Kerja awak (doktor) untuk diagnos mereka. Kalau macam ini mentaliti doktor, saya sendiri jadi takut,” katanya.

Ada pengguna dikenali Mira Su berpendapat pesakit memilih untuk datang ke jabatan kecemasan kerana tidak semua mampu untuk ke klinik swasta bagi mendapatkan rawatan.

“Klinik kesihatan tidak buka 24 jam. Klinik swasta sahaja ada, tapi ada keluarga tidak mampu pergi. Jadi, jabatan kecemasan adalah pilihan terakhir. Aku tak rasa orang saja-saja nak buang masa tiga hingga empat jam di jabatan kecemasan,” katanya.

Sementara itu, ada juga yang berkongsi kisah benar di mana seorang pesakit mengalami sakit kepala teruk dan memilih untuk pergi ke jabatan kecemasan untuk mendapatkan rawatan.

“Masa tengah tunggu giliran, dia kena sawan. Selain sawan, dia kena strok juga. Berbulan dia tak boleh jalan. Umur baru 29 tahun waktu tu. Syukur dia tak tunggu pagi pergi klinik kesihatan, kalau tak mungkin dah mati,” ciap Syazmin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI