TEMASYA Sukan Malaysia (Sukma) 2024 yang melabuhkan tirainya kelmarin berjaya mencapai matlamat penganjuran dengan menyaksikan ramai atlet muda semakin mula menyerlahkan potensi dan kemampuan sebenar.
Sebanyak tujuh rekod kebangsaan dan 21 catatan baharu kejohanan berjaya dipecahkan sekali gus menandakan perkembangan positif buat perkembangan sukan tanah air.
Ucapan terima kasih buat Sarawak wajar diberikan atas usaha berterusan untuk menyediakan fasiliti terbaik membantu atlet-atlet muda membina nama dalam arena sukan negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya berbangga dalam melangsungkan Sukma 2024 dengan sempurna sekali gus menepati hasrat utama untuk melahirkan lebih ramai atlet cemerlang buat Malaysia.
“Anak-anak kita dari Perlis ke Sabah bersama dengan rakan kita dari Brunei berkampung di Sarawak, mereka sudah pamerkan semangat keakraban yang begitu tinggi. Hakikatnya semangat perpaduan anak muda begitu menyerlah dan mereka juga bersaing dengan semangat kesukanan tinggi.
“Ada dalam kalangan mereka mencipta rekod baharu, bagi pihak rakan-rakan di Sarawak saya ucap tahniah kepada seluruh atlet yang sudah berjaya pada Sukma kali ini. Saya percaya semangat kesukanan, perpaduan, dedikasi, disiplin tinggi akan beri masa depan cerah bukan saja kepada anak muda tetapi seluruh rakyat Malaysia.
“Sarawak sedia untuk bantu bangunkan sukan di seluruh negara. Sarawak sudah berikan khidmat terbaik, mudah-mudahan jadi tanda aras dalam kita mahu memupuk persaudaraan.
“Tidak ada yang sempurna tetapi kalau ada kekurangan, saya minta maaf. Keseluruhannya kita sudah berikan yang terbaik untuk anak-anak Malaysia,” katanya.
Melihat semula penganjuran bagi edisi kali ini, acara di kolam renang dan angkat berat menjadi dua pertandingan yang sering menghadirkan catatan baharu, malah turut mencuri perhatian pastinya membabitkan sukan olahraga yang merekodkan satu rekod kebangsaan.
Paling mengujakan apabila saingan hari pertama acara olahraga sudah pun menghadirkan pencapaian luar biasa daripada atlet-atletmuda cemerlang melepasi had kelayakan ke Sukan SEA 2025 yang akan dianjurkan di Bangkok, Thailand pada Disember tahun depan.
Mereka adalah ratu pecut Sukma kali ini, Nur Afrina Batrisyia Mohamad Rizal yang menjuarai acara 100 meter (m), 200m dan 4x100m buat Selangor selain Jonah Chang Rigan (lontar peluru) dan atlet 20,000m jalan kaki, Khor Jing Hong apabila masing-masing menepati had kelayakan ditetapkan untuk layak secara merit.
Kesemuanya menyerlahkan kemampuan tersendiri apabila mampu menepati syarat kelayakan iaitu menyamai catatan dilakukan atlet yang memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA edisi lepas di Kemboja.
Perenang Selangor, Andrew Goh yang diangkat sebagai Atlet Lelaki Terbaik Sukma 2024 juga mempunyai sebab-sebab tersendiri untuk namanya diberikan lebih perhatian selepas ini memandangkan kuakan hebatnya berjaya menghadirkan dua rekod baharu kebangsaan.
Tidak lupa juga permata baharu menembak negara dari Negeri Sembilan, Gan Chen Jie yang dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik pada edisi Sukma kali ini.
Bagaimanapun, kesemua kontinjen harus kekal bekerja keras memandangkan masih lagi wujud dominasi besar dalam beberapa acara seperti yang dapat dilihat penguasaan ditunjukkan oleh Pahang dalam sukan menembak.
Lebih manis apabila Sarawak selaku tuan rumah muncul juara edisi ini dengan 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa menjadikan keseluruhan 201 pingat, berkelebihan satu pingat emas menewaskan Wilayah Persekutuan di tangga kedua (75 emas) dan Selangor di tempat ketiga (56 emas).
Selepas ini, Sarawak pastinya akan jadi pemegang taruh penting kepada arena sukan negara selepas Kerajaan Persekutuan sudah pun bersetuju untuk memberikan hak sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.