DUNGUN – Gara-gara keletihan mengejar trip dan ketiadaan pemandu kedua, seorang pemandu bas persiaran sanggup memandu dalam keadaan mengantuk dan membahayakan nyawa penumpangnya yang terdiri daripada pelancong asing pada minggu lalu.
Perilaku lelaki berusia 63 tahun yang memandu dalam keadaan mengantuk itu sempat dirakam salah seorang penumpangnya sebelum diadukan kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sewaktu bas tersebut ditahan dalam sekatan jalan raya di Hentian Rehat dan Rawat Paka di sini.
Pengarah JPJ Terengganu, Zamri Samion berkata, sebelum ditahan, pemandu tersebut dalam perjalanan menghantar sembilan pelancong warga Maghribi ke Kuala Lumpur dari Besut.
Beliau berkata, sebaik ditahan, salah seorang penumpang mengadu kebimbangan mereka tentang keselamatan apabila bas persiaran terbabit didakwa dipandh pemandu itu dalam keadaan mengantuk.
“Dia turut memberikan bukti menerusi rakaman video diambilnya. Berdasarkan soal siasat, lelaki warga emas itu mengaku keletihan kerana memandu pada jarak jauh tanpa pemandu kedua.
“Dia juga mengaku baru sahaja selesai membawa pelancong lain dari Kuala Lumpur ke Besut,” katanya selepas mengetuai Operasi Khas Kenderaan Perdagangan di Bukit Besi di sini hari ini.
Zamri berkata, pemandu bas persiaran terbabit telah diminta agar berehat dahulu di hentian tersebut sebelum meneruskan kembali perjalanan.
Tambah beliau, pemilik bas itu iaitu salah sebuah syarikat pelancongan pula dikenakan kompaun kerana tidak menyediakan pemandu kedua. – KOSMO! ONLINE