fbpx

Peguam demam panas, bicara Guan Eng ditangguh 19 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini.-Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Prosiding mencabar kredibiliti saksi dalam kes rasuah terowong dasar laut Pulau Pinang, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini sehingga 19 September ini kerana peguam utama yang mewakili Lim Guan Eng, bercuti sakit.

Prosiding terhadap saksi pendakwaan ke-23, Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli dimulakan sejak 4 Mac lalu. Beliau mula memberi keterangan dalam perbicaraan tersebut pada 17 Disember 2021.

Peguam R.S.N. Rayer yang turut bertindak bagi pihak bekas Ketua Menteri itu memaklumkan, Haijan tidak hadir di mahkamah hari ini kerana mengalami demam panas kira-kira pukul 2 pagi tadi.

Sambil meminta maaf, beliau memohon prosiding mencabar kebolehpercayaan terhadap Zarul Ahmad ditangguhkan pada satu tarikh lain kerana Haijan adalah peguam utama dalam kes tersebut.

Penangguhan itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pihak pendakwaan.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan perbicaraan disambung selama dua hari pada 19 dan 20 September ini.

Kredibiliti Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. yang juga saksi utama pendakwaan, dicabar selepas kenyataan yang diberikannya ketika siasatan kes ahli perniagaan G. Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng walhal kedua-dua kes melibatkan siasatan terowong dasar laut Pulau Pinang.

Zarul Ahmad ketika itu merupakan Pengarah Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn. Bhd. (CZBUCG) yang dilantik melaksanakan projek berkenaan yang menelan belanja RM6.3 bilion.

Pada perbicaraan lalu, Zarul Ahmad diminta menjelaskan mengapa kenyataannya yang diberikannya ketika siasatan kes Gnanaraja, berbeza dengan kenyataannya dalam kes Guan Eng.

Guan Eng dibicarakan atas pertuduhan pindaan menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang RM3.3 juta sebagai tindakan membantu syarikat CZBUCG milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek bernilai berbillion ringgit.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di antara bulan Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI