BEREGU wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah tekad menampilkan aksi lebih baik menjelang Kejohanan Badminton Korea Selatan yang akan berlangsung di Seoul bermula esok hingga Ahad depan.
Langkah beregu No. 10 dunia itu tersekat di suku akhir Terbuka Jepun pada Jumaat lalu selepas tewas 21-17, 14-21, 10-21 kepada pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024 dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning.
Kekalahan itu menyaksikan Pearly-Thinaah kempunan untuk mara ke separuh akhir buat kali kedua dalam saingan Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) musim ini selepas melakukannya pada Malaysia Masters, Mei lalu.
Mengulas aksi ditampilkan sepanjang Terbuka Jepun, Thinaah mengakui mereka kurang berpuas hati meskipun dapat melayakkan diri ke suku akhir dan sedia memperbaiki kelemahan di Terbuka Korea.
“Tak cakap gembira walaupun dapat layak ke suku akhir. Selepas pulang daripada kejohanan besar (Olimpik Paris), kami berbincang dengan jurulatih untuk datang beraksi pada Terbuka Jepun.
“Kami hanya menikmati perlawanan dan keluarkan permainan kami, namun masih ada ruang yang boleh diperbaiki. Sekarang kami hanya mahu mendapatkan rehat dan kembali lebih kuat pada kejohanan seterusnya,” katanya.
Sementara itu, Pearly berkata, mereka mendapat pengajaran berguna ketika bertemu Sheng Shu-Tan Ning, terutamanya bagaimana mengendalikan tekanan ketika berdepan beregu seperti mereka.
“Saya fikir masih ada perkara positif yang boleh kami ambil daripada perlawanan tersebut. Mereka ada kelebihan dari segi kekuatan yang menekan kami, jadi kami akan bawa (pengajaran) ke kejohanan akan datang,” ujarnya.
Berdasarkan jadual semasa Terbuka Korea, Pearly-Thinaah mendapat ‘bye’ di pusingan pertama dan akan menanti pemenang antara dua beregu Taiwan, Nicole Gonzales Chan-Lin Chih Chun atau Jiang Yi Hua-Li Zi Qing pada pusingan kedua nanti.