fbpx

Pasukan SAR guna kamera cari mangsa tanah jerlus dalam pembetung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulizmie Affendy pada sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini. Foto oleh NURUL NAJWA HASRAN

KUALA LUMPUR – Usaha mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang dilaporkan terjatuh dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, kini fokus kepada mengeluarkan serpihan batu di saluran air pembetung.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pasukan SAR menemui longgokan batu besar ketika membuat pemeriksaan menggunakan kamera khas ‘push rod’ dan ‘crawler’ di lurang kumbahan berhampiran Wisma Yakin.

“Ketika kamera dimasukkan pada jarak empat meter, kita dapat lihat serpihan objek batu-batu yang keras. Pagi tadi kami gunakan jetter (pancutan air tekanan tinggi) untuk pecahkan serpihan itu.

“Apabila dipecahkan, kami yakin apa sahaja objek termasuk tubuh manusia akan terkeluar melepasi air itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium (IWK) Narendran Maniam dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur Rozihan Anwar Mamat.

Untuk rekod, kekuatan tekanan air pada ‘jetter’ digunakan adalah 200 bar.

Menurut beliau, usaha menggunakan’ jetter’ sebanyak empat kali setakat pukul 6 petang tadi mendapati masih terdapat serpihan batu keras dipercayai hasil runtuhan ketika insiden itu berlaku.

Mengulas lanjut, Sulizmie memaklumkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi menjalankan kajian terhadap struktur tanah terutamanya di sekitar kawasan Jalan Masjid India.

Tambah beliau, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut meletakkan kira-kira 100 beg pasir di lokasi kejadian bagi mengurangkan limpahan air hujan masuk ke dalam kawasan tersebut.

“Beg pasir itu diletak susulan cuaca yang kurang baik. Pencarian mangsa sehingga kini masih diteruskan oleh pasukan SAR,” katanya.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI