fbpx

OKU bertongkat gigih jual nasi lemak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NURUL WAHIDA yang bertongkat berniaga nasi lemak di gerainya di Kampung Sungai Badak, Kulim semalam.

Oleh AZAHAR HASHIM

KULIM – Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit kencing manis kronik gigih mencari sumber pendapatan sendiri demi membesarkan anak-anaknya.

Nurul Wahida Jamaluddin, 41, yang juga orang kelainan upaya (OKU) yang kini kehila­ngan kaki kanan dan mata kiri akibat penyakit tersebut mencari pendapatan dengan
berniaga nasi lemak di gerai berhadapan sebuah sekolah menengah di Kampung Sungai Badak, di sini lebih sebulan lalu.

Katanya, sebelum menghidap penyakit itu beberapa tahun lalu, dia berniaga nasi lemak di situ, namun terlantar di rumah apabila terdapat bisul di bahagian belakang badannya yang menjadi luka agak besar dan lambat sembuh pada September 2022.

“Saya hanya terlantar di rumah dan hilang punca pendapatan dan bergantung pada bantuan dari Pejabat Zakat sebanyak RM300.

“Tujuh bulan selepas itu, pada pertengahan Mac 2023, kaki kanan saya di potong akibat diabetes,” katanya ketika ditemui di gerainya di sini semalam.

Ujarnya, gerai miliknya dibuka setiap hari kecuali Khamis dan mula operasi pada pukul 6 petang sehingga makanan yang dijual habis.

Katanya, setiap kali berniaga dia menggunakan tongkat empat kaki untuk berdiri sambil dibantu anak kedua yang masih bersekolah iaitu Muhamad Syahmi Nakha’ie, 14 selepas pulang dari sekolah.

“Saya mempunyai tiga orang anak hasil dua perkahwinan yang kedua-duanya berakhir dengan perceraian, dua masih bersekolah iaitu Muhammad ­Syami Shahrul Nizan dan Muhamad Syafi Naqiuddin Shahrizal, 9,” ujarnya.

Tambahnya, nasi lemak tersebut dijual pada harga RM1.50 sebungkus, manakala nasi lemak yang diletak lauk dijual mengikut harga jenis lauk yang diambil oleh pelanggan.

“Biarpun pendapatannya tidak seberapa, tetapi demi ­kelangsungan hidup dan untuk membesarkan anak-anak, saya gagahkan diri juga untuk berniaga,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban ibu tunggal berkenaan boleh ­menghubunginya di talian 012-552 0954 atau menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB Bank Nurul Wahida iaitu 7610501757.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI