fbpx

Nama saya Mahathir Mohamad bukan Mahathir a/l Iskandar Kutty – Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahathir ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. - Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa namanya adalah Mahathir Bin Mohamad dan bukan Mahathir a/l (anak lelaki) Iskandar Kutty seperti yang didakwa Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Malah bekas Perdana Menteri itu turut memaklumkan beliau adalah seorang Melayu dan beragama Islam sejak lahir.

“Saya sedar (kenyataan Ahmad Zahid) itu berbohong, tiada satu pun IC (kad pengenalan) guna nama itu. Sejak saya dilahirkan hingga masuk universiti dan sehingga menjadi doktor tidak penah orang sebut nama saya Mahathir a/l Iskandar Kutty.

“Ini satu pembohongan oleh Ahmad Zahid. Bapa saya bernama Mohamad bin Iskandar dan ibu saya adalah Wan Tempawan binti Wan Hanapi.

“Bapa saya berasal dari Pulau Pinang, dan seorang Melayu, di mana nenek moyang saya mempunyai darah yang berketurunan dari negeri selatan India, iaitu Kerala. Ibu saya pula berasal dari Kedah dan masing-masing berketurunan Melayu sejati,” katanya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong bersambung lagi petang ini.

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 20 Julai 2022, Dr. Mahathir, 99, mendakwa, Ahmad Zahid, 71, telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat UMNO Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.

Kenyataan itu kemudian diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita dalam talian, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.

Dakwanya, dalam kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Selain itu ia menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI