fbpx

Mohd. Zuki dilantik Pengerusi KWSP baharu kuat kuasa 1 September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zuki.

PETALING JAYA – Lembaga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan pelantikan Tan Sri Mohd. Zuki Ali sebagai Pengerusi KWSP yang baharu, berkuat kuasa 1 September depan.

KWSP dalam kenyataannya berkata, Mohd. Zuki yang juga merupakan mantan Ketua Setiausaha Negara ke-15, akan menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd. Zahir.

Untuk rekod, Ahmad Badri telah memegang jawatan Pengerusi KWSP sejak 1 Mei 2020.

Ujar KWSP, setinggi-tinggi penghargaan diberikan kepada Ahmad Badri di atas kepimpinan dan sumbangan besar beliau yang telah meletakkan KWSP pada tahap kecemerlangan yang berterusan.

“Pada masa yang sama, Lembaga KWSP mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mohd. Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan mempunyai hala tuju strategik untuk terus memacu KWSP ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Tambah KWSP, pihaknya akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin kesejahteraan kewangan dan simpanan persaraan ahli khususnya dalam membantu membina masa depan yang lebih baik.

Mohd. Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019, dan dilantik semula dengan kontrak dua tahun dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

Beliau bersara pada 9 Ogos selepas tiga dekad dalam perkhidmatan awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan ada berkata Mohd. Zuki akan diberi satu lagi tugasan penting. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI