KOTA TINGGI – Kapal milik Tentera Laut Diraja (TLDM), Kapal Diraja (KD) Pendekar yang tenggelam di Tenggara Tanjung Penyusop, di sini semalam merupakan antara aset tertua agensi penguatkuasaan itu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kapal tersebut dipercayai beroperasi sejak tahun 1979.
Walaupun usianya menjangkau hampir usia 50 tahun, Mohamed Khaled berkata faktor usia kapal bukan punca sebenar kejadian pada pukul 3.54 petang itu berlaku.
“Kementerian Pertahanan (Mindef) masih menunggu laporan siasatan berhubung insiden membabitkan Kapal KD Pendekar bagi mengetahui punca sebenar.
“Kita tidak menafikan usia kapal-kapal kita yang terlalu lama, tetapi itu bukan mungkin antara punca. Puncanya seperti yang dikatakan terlanggar objek, ini sedang dibuat kajian.
“Yang penting syukur kerana insiden itu tidak melibatkan korban nyawa,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke Tapak Projek Pemindahan Ilmu Ternakan Kelulut Sedili anjuran Universiti Malaysia Terengganu di Perumahan PPRT Kampung Sedili Kecil, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled memberitahu, satu pertiga dianggarkan kira-kira 10 hingga 15 buah kapal milik TLDM berusia lebih 40 tahun. – KOSMO! ONLINE