fbpx

Kepakaran tempatan diguna sepenuhnya, cari mangsa tanah jerlus sampai jumpa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sulizmie Affendy pada sidang akhbar di lokasi kejadian, hari ini. Foto oleh NURUL NAJWA HASRAN

KUALA LUMPUR – Kepakaran tempatan daripada pelbagai sudut digunakan sepenuhnya dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, operasi SAR itu juga akan diteruskan sehingga mangsa ditemui.

Katanya, gerak kerja penugasan itu dipengerusikan sendiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Syarif.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini dan kenyataan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), kita akan teruskan mencari mangsa hingga dijumpai.

“Hasil perbincangan dengan agensi lain kita gunakan kepakaran dalam negara kita. Kita percaya dengan bantuan agensi sahabat, insya-Allah dapat selesaikan perkara ini,” katanya pada sidang akhbar di lokasi kejadian.

Beliau berkata, pihak polis telah menempatkan pegawai dan anggota di kawasan sekeliling lokasi kejadian untuk kawalan keselamatan.

Katanya, ini bagi mengelakkan pengunjung atau orang awam masuk ke lokasi berkenaan.

“Kemasukan orang tidak berkaitan di lokasi kejadian boleh datangkan bahaya kepada nyawa dan pihak yang lakukan penyelamatan dan perkara seperti ini perlu diambil perhatian,” ujarnya.

Jumaat lalu, media melaporkan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dikhuatiri terjatuh ke dalam tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI