fbpx

Kedah buat simpanan air maksimum hadapi kemarau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tasik Pedu yang menempatkan Empangan Pedu yang kering akibat kemarau, baru-baru ini. Gambar hiasan

ALOR SETAR – Kedah akan membuat simpanan air secara maksimum di semua empangan di negeri itu sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang dijangka lebih panjang pada tahun hadapan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air serta Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff Zakaria berkata, selain itu, pihaknya juga akan mengawal pelepasan air dari empangan bagi kegunaan domestik dan pertanian mengikut keperluan semasa.

“Pelepasan air ini dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang tertentu, ia tidak akan dilepaskan begitu sahaja,” katanya pada sesi pertanyaan mulut pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Mohamad Yusoff (PN-Kuala Nerang) menjawab pertanyaan Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman (PN-Tokai) tentang persediaan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) menghadapi kemarau panjang pada tahun hadapan seperti diramal Jabatan Meteorologi (MetMalaysia).

Kata beliau, LSANK mempunyai pelan jangka pendek dan panjang dalam memastikan bekalan air sentiasa mencukupi bagi kegunaan domestik dan pertanian di negeri ini.

“Bagi pelan jangka pendek, LSANK akan mengemukakan permohonan kepada Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (Nadma) bagi Operasi Pembenihan Awan (OPA) di kawasan tadahan yang tahun ini telah dilakukan pada 29 hingga 31 Julai lalu.

“Sementara pelan jangka panjang pula, LSANK telah memohon kepada Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (Petra) untuk pembangunan kolam Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12),” ujarnya.

Sementara itu, Mohamad Yusoff berkata, Kedah sekali lagi berharap agar Pulau Pinang membayar caj bekalan air mentah yang 84 peratus sumbernya diambil dari Sungai Muda.

Katanya, negeri jiran itu wajar mencontohi Syarikat Air Darul Aman (SADA) selaku operator air di Kedah yang membayar kepada LSANK sebanyak tiga sen untuk satu meter padu.

“Jiran kita tak bayar walau satu sen kepada Kedah. Usaha Kedah minta caj air mentah tersebut sudah berterusan lama dan diharap Pulau Pinang dapat pertimbangkan tuntutan ini dan buat bayaran.

“Selaku anak syarikat kerajaan negeri pun SADA bayar kepada LSANK, apatah lagi jiran yang ambil sumber air kita dari hutan tadahan sehinggakan kita terpaksa kekalkan hutan dan tidak boleh tebang balak,” jelasnya.

Kedah sebelum ini membuat tuntutan bertulis kepada Pulau Pinang untuk mengenakan caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun, berikutan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mendapat bekalan air dari Sungai Ulu Muda yang berpunca dari Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI