PETALING JAYA – Pelakon Datuk Remy Ishak mengambil pendekatan tidak terlalu taksub dengan segala komen-komen negatif yang dilemparkan netizen di gelanggang media sosial.
Remy atau nama sebenarnya, Zalimei Ishak, 42, dia sedia maklum dengan apa sahaja yang bakal diterima atas setiap tindakan selain masih menjaga batas tertentu.
“Saya tak ambil tahu dan tidak baca komen. Jadi, memang tidak tahu orang komen atau hentam saya.
“Saya tak kisah dah semua benda. Pengajaran hidup yang saya belajar adalah jangan baca komen sebab orang akan bagi macam-macam pendapat.
“Saya sudah 40-an, tahu mana baik dan buruk. Setiap apa yang saya lakukan saya tahu batasnya, kalau asyik nak dengar apa orang cakap melalui komen, tak jadi apa,” katanya dalam sebuah temu bual dengan media.
Dikatakan menunjukkan nilai tidak baik apabila tampil dengan imej hidung ‘bersubang’ baru-baru ini, pelakon filem Pulang itu memaklumkan urusan mendidik anak-anak seharusnya menjadi tanggungjawab ibu bapa, bukan datang dari pihaknya.
“Jadi, saya memang tidak tahu orang hentam saya. Adakah orang hentam? Lantaklah.
“Ada orang cakap penampilan saya mungkin boleh menggalakkan perkara yang tidak baik kepada seseorang, itu bukan tanggungjawab saya tetapi tugas ibu bapa mereka untuk mendidik,” ujarnya lagi.
Selain itu, bapa kepada seorang anak itu turut meninggalkan nasihat bahawa pendosa tidak akan lari dari membuat kesilapan lebih-lebih lagi wujudnya platform media sosial yang sukar dikawal.
“Kepada pendosa-pendosa sekalian, kita bukannya orang yang baik, kalau ada 10 kebaikan tetapi kita dapat buat tujuh pun okey.
“Pada saya, tak ada orang yang baik dan jahat sangat dalam dunia ini dan setiap orang ada pandangan masing-masing.
“Inilah dunia maya, saya tak boleh nak kawal orang dan terima kasih atas benda-benda tak baik itu (kecaman) sebab memberikan pahala kepada saya,” tuturnya.
Sebelum ini, Remy mengejutkan ramai menggayakan ‘septum ring’ atau subang hidung semasa hadir ke majlis pelancaran drama Viu, The Secret.
Katanya, penampilan tersebut dibuat hanya sekadar untuk berfesyen selain sudah cukup matang untuk membuat pertimbangan.- KOSMO!ONLINE