fbpx

Jakoa peruntuk RM4.3 juta untuk Program Modal Insan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubiah (kanan) bersama Ketua Pengarah Jakoa, Datuk Sapiah Mohd Nor pada majlis Perasmian Program Karnival Belia Orang Asli Rentas Desa Sejahtera (K-Boards) Madani 2024 di Hotel Bangi Resort hari ini. - Foto oleh SADDAM YUSOFF / KOSMO!

KAJANG – Sebanyak RM4.3 juta diperuntukkan oleh Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) di bawah pembangunan Program Modal Insan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, program itu merangkumi pelbagai skop termasuk Latihan Kemahiran Kerjaya dan Program Sukan.

“Peruntukan ini bertujuan merancakkan lagi program-program di lapangan khususnya Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan peluang kerjaya.

“Jakoa turut mengadakan kolaborasi bersama kementerian dan agensi lain dalam melaksanakan program ini,” katanya pada perasmian Program Karnival Belia Orang Asli Rentas Desa Sejahtera (K-Boards) Madani 2024 di Bangi dekat sini hari ini.

Terdahulu, Rubiah berkata, seramai 105 pelajar Orang Asli mendapat mendapat sekurang-kurangnya 5A sehingga 11A pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.

Menurut beliau, seramai 37 pelajar lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 pula mendapat keputusan cemerlang iaitu dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 2.80 sehingga 4.00.

“Ini membuktikan bahawa kejayaan tidak memilih warna kulit atau kaum dan tiada yang mustahil jika ingin berjaya. Kita doakan mereka semua terus menempa kejayaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, data terkini di Jakoa menunjukkan seramai 1650 belia Orang Asli telah mengikuti Program Latihan Kemahiran dalam pelbagai bidang tahun lalu.

Kata beliau, seramai 816 orang belia pula berjaya menceburi bidang pekerjaan pada tahun 2023 iaitu seramai 577 di agensi awam termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)

“Seramai 239 lagi pula berjaya memperolehi pekerjaan di agensi Swasta iaitu agensi pekerjaan di bawah kendalian Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Akademi Binaan Malaysia, HRD Corp, Malaysia Aviation Group (MAG) dan UOA Academy.

“Saya percaya jumlah ini akan bertambah dengan permintaan yang tinggi di pasaran berasaskan bidang kemahiran dan latihan industri yang semakin meluas,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI