KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menegaskan masalah internet di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) adalah disebabkan isu liputan dalam bangunan.
Fahmi berkata, dalam kes teknikal, ia tidak perlu melibatkan pertukaran Menteri Komunikasi seperti yang disarankan Ketua Pemuda UMNO, Datuk, Dr. Akmal Saleh.
“Dia (Akmal) berseloroh mengenai liputan internet di Dewan Merdeka. Dalam kes teknikal seperti ini tak perlu tukar Menteri Komunikasi tapi saya cadangkan beliau berhubung dengan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim untuk meneliti masalah dalam bangunan.
“Kerana isunya adalah liputan dalam bangunan. Berbeza kalau masalahnya di luar,” katanya ketika ditemui pada Program Pentarama dan Kelab Malaysiaku sempena Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pantai, di sini hari ini.
Fahmi berkata, beliau juga menyarankan mana-mana pihak untuk merancang lebih awal bagi mengelakkan masalah seumpama itu.
“Isunya adalah mungkin pada waktu itu dia nak muat naik sesuatu. Saya sarankan, sekiranya mereka rancang awal, tak ada masalah. Mungkin (waktu itu) ramai pada dan ia masalah yang sama berlaku bila stadium penuh sebagai contoh,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, beliau bersama pasukannya sentiasa memastikan sebarang masalah melibatkan perkhidmatan 5G dapat diselesaikan dengan baik.
“Sehingga hari ini, saya difahamkan kita bukan hanya melepasi sasaran 80 peratus liputan, tapi setakat Julai lalu, hampir 48 peratus pengguna telefon mudah alih di Malaysia menggunakan rangkaian 5G. Ini adalah satu pencapaian yang cukup baik,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE