fbpx

Inovasi baja Taaveekun beri manfaat petani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Md. Fadzilah menunjukkan produk baja keluaran Taaveekun di Bangi baru-baru ini.

BANGI – Pelbagai idea usahawan tatkala mereka mahu memilih nama syarikat agar ia terus berdaya tahan menghadapi badai dalam dunia perniagaan yang mencabar kini.

Selalunya untuk mendapat keberkatan dan perniagaan te­rus berdaya saing, usahawan akan mengambil nama bersempena salah seorang daripada ahli keluarga, kombinasi nama suami dan isteri atau nama simbolik bersandarkan nama keislaman.

Tetapi berbeza dengan pengasas syarikat Taaveekun Manufacturing Sdn. Bhd., Md. Fadzilah Ariffin yang lebih suka memilih perkataan daripada Thailand memandangkan beliau fasih bertutur dalam bahasa negara jiran itu.

Menurut Presiden syarikat tersebut, Taaveekun yang dikaitkan dengan makna berganda itu dipilih kerana sebelum ini beliau telah mempelajari pelbagai ilmu dan teknologi tentang industri berkenaan dari Thailand.

“Perniagaan kami bermula dari Kedah dan bila kami bercerita mengenai baja yang dibeli dari Thailand, pastinya ramai yang tahu bahawa ia adalah baja yang berkualiti tinggi sekali gus menghasilkan buah yang lebat serta bermutu.

“Kami olah dan inovasikan produk tempatan yang berkualiti tinggi.

“Selalunya dalam kalangan petani jika produk baja itu adalah keluaran dari Thailand maka ia akan menarik minat mereka untuk membeli serta terus setia dengan jenamanya.

“Jadi, dengan nama Taaveekun yang dianggap sebagai produk dari Thailand, ia telah mendapat sambutan yang baik daripada petani tempatan sedangkan ia adalah daripada hasil pengeluaran syarikat kami,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam majlis pemeteraian perjanjian antara Taaveekun dengan Pertanian Bersih Sdn. Bhd. (PBSB) sebuah syarikat pemula berinovatif yang dike­tuai oleh Profesor Dr. Che Radziah Che Mohd. Zain dari Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini baru-baru ini.

Md. Fadzilah menjelaskan, syarikat yang kini berusia 24 tahun cukup berpengalaman dalam bidang pertanian khususnya pengeluaran produk baja untuk pasaran tempatan dan juga ditawarkan di negara jiran termasuk Thailand.

Pasaran di negara gajah putih itu mula diterokanya sejak lima tahun lalu dan sehingga kini syarikat telah mendapat sambutan yang baik daripada pelanggan di sana.

Syarikat yang dinamakan Taaveekun Agro Thailand adalah salah satu sayap perniagaannya di negara itu selain turut memiliki gudang dan kedai baja yang menawarkan pelbagai barangan lain termasuk produk ke­perluan pertanian lain.

Mengulas lanjut, usahawan yang berumur 64 tahun dan masih aktif turun padang mengoperasikan sayap perniagaannya di dalam dan luar negara itu berkata, produk po­pular Taaveekun adalah perapi tanah atau Soil Amendment dan juga Smart Fertilizer.

Antara produk keluaran syarikat adalah Soil Amendment, Smart Green, Smart Red, Smart Blue, baja organik dan baja foliar, yang mana harga jualannya adalah serendah RM60 sekampit.

Kapasiti pengeluaran baja dari kilangnya yang terletak di Bukit Kayu Hitam dan ibu pejabat di Kota Sarang Semut, Kedah setiap tahun adalah antara 35,000 hingga 40,000 tan (35 juta tan kilogram (kg) hingga 40 juta tan kg).

Lebih menarik, syarikat juga telah bekerjasama dengan Koperasi Permodalan Felda ke­rana agensi tersebut memiliki beberapa rangkaian kedai baja yang membantu mengedarkan produk Taaveekun di pasaran tempatan.

“Produk keluaran syarikat kami lebih murah tetapi sangat berkesan dan memberi manfaat kepada petani.
“Ilmu yang kami peroleh adalah dari Thailand dan ia banyak membantu pe­langgan kami, “ jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai pemeteraian perjanjian antara Taaveekun dengan PBSB, ia adalah kerjasama strategik dalam bidang kajian dan pembangunan (R&D) bagi menuju ke arah pertanian lestari.

Kerjasama R&D itu akan memfokuskan kepada penyelidikan berasaskan Harta Intelek UKM iaitu Teknologi Pertanian Bersih (CAT) dalam menjalankan amalan pertanian bagi mengekalkan kelestarian Rantaian Nilai pertanian.

Pada dasarnya, CAT adalah sistem pertanian yang selamat dan bersepadu yang menggabungkan bahan dan kaedah pertanian berasaskan pengetahuan saintifik dan diaplikasikan pada peringkat awal Rantaian Nilai Asas Tani.

Ia adalah untuk meningkatkan hasil dan kualiti hasil pertanian di samping mengekalkan keharmonian tanah, tumbuhan, alam sekitar dan biodiversiti.

Mengulas lanjut mengenai CAT, Md. Fadzilah berkata, me­lalui CAT dan terdapatnya logo UKM pada produk keluaran syarikat, ia akan memudahkan serta merancakkan lagi aktiviti pemasaran syarikat.

“Dengan adanya CAT, kami optimis untuk mencapai sasaran jualan sehingga RM60 juta menjelang akhir tahun ini. Berbanding tahun lalu, jualan syarikat adalah lebih daripada RM50 juta,” terangnya.

Selain itu, Md. Fadzilah menjelaskan, selain Thailand, Taaveekun telah bertapak di negara Brunei sejak enam tahun lalu dan sedang mengintai peluang untuk me­nembusi pasaran Kemboja. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI