KUALA TERENGGANU – Penyertaan dua atlet wanita dalam acara terjun bagi mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak minggu lalu dilakukan tanpa pengetahuan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, penyertaan dua atlet wanita itu ditanggung sendiri di bawah Persatuan Renang Amatur Terengganu.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu kekal dengan pendirian untuk tidak menghantar atlet wanita dalam acara memerlukan pemakaian tidak patuh syariah seperti terjun, gimnastik dan renang.
“Sewaktu Persatuan Renang Amatur Terengganu menghantar permohonan pada 5 Jun lalu, kita dengan jelas memaklumkan pertimbangan hanya akan diberikan sekiranya atlet bukan Islam yang dihantar.
“Malangnya, atlet wanita tersebut (tetap) menyertai acara terjun di luar pengetahuan. Saya sangat terkejut dan berdukacita,” katanya di sini hari ini.
Hishamuddin berkata, Persatuan Renang Amatur Terengganu akan dipanggil untuk membuat penjelasan berhubung penyertaan dua atlet wanita terjun terbabit. – KOSMO! ONLINE