MANCHESTER – Penyerang Manchester City, Erling Haaland terus ‘mengganas’ apabila meledak hatrik membantu pasukan itu membelasah Ipswich Town 4-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad malam kelmarin.
Turut menjaringkan gol pada perlawanan itu adalah pemain tengah, Kevin De Bruyne bagi memastikan tiga mata menjadi milik The Citizens, manakala gol tuan rumah dijaringkan Sammie Szmodics.
Pengurus City, Pep Guardiola menganggap Haaland memiliki kemampuan untuk mencabar rekod jaringan yang pernah dilakukan dua legenda bola sepak dunia, Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo ketika zaman kemuncak mereka.
“Dia (Haaland) pernah melakukan perkara seperti ini ketika beraksi di liga Jerman. Pada usianya ketika ini, saya fikir dia mampu bersaing dengan Cristiano (Ronaldo) dan Messi dari segi jaringan gol.
“Bagi saya, dia merupakan ancaman untuk setiap benteng pertahanan yang bersemuka dengannya. Saya harap dia boleh meneruskan aksi seperti ini untuk jangka masa lebih panjang bersama kami,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menganggap kegagalan Norway melayakkan diri ke saingan Euro 2024 sebelum ini sebagai rahmat kerana memberi ruang buat Haaland untuk mendapatkan rehat mencukupi.
“Sebelum ini, dia pernah cakap badan terasa penat kerana tidak cukup rehat. Bagaimanapun, kali ini tanpa beraksi di Euro, dia tiba di kelab dalam keadaan cukup bersedia, jadi ia satu perkara yang positif,” ujar Guardiola. – AGENSI