fbpx

‘DinFei’ bersemangat buru ranking No.5 dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IZZUDDIN (kanan) dan Sze Fei menamatkan penantian sejak kali terakhir menjuarai Abu Dhabi Masters pada Oktober tahun lalu. - AFP

KEJAYAAN muncul juara pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun semalam menjadi tonik buat beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan aksi lebih baik pada kejohanan akan datang.

Pasangan yang terkenal dengan gelaran ‘DinFei’ dalam kalangan peminat badminton negara itu mula meletakkan harapan untuk memperbaiki kedudukan mereka dengan sekurang-kurangnya berada dalam kelompok lima beregu terbaik dunia.

Izzuddin mengakui bangga dengan kejayaan mereka meraih gelaran dalam siri Jelajah Dunia Super 750 itu, lebih-lebih lagi selepas kali terakhir merangkul kejuaraan Abu Dhabi Masters pada Oktober tahun lalu.

“Kami datang ke sini dengan satu tujuan iaitu menampilkan aksi terbaik dan kami berjaya dapatkan gelaran. Oleh itu, saya bangga dengan apa yang kami tampilkan sepanjang kejohanan ini.

“Sudah pasti kejuaraan ini akan menjadi pembakar semangat kami untuk memperbaiki kedudukan ranking dengan berada dalam kelompok lima teratas dunia,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sebaik tamat perlawanan semalam.

Pada perlawanan akhir itu, Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-12 dunia menampilkan aksi cukup bertenaga apabila menguasai sepenuhnya perlawanan sebelum menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi keputusan straight set 21-19, 21-15.

Selaku juara, pemenang Terbuka Jerman 2022 itu membawa pulang hadiah wang tunai AS$62,900 (RM275,124) berserta pingat, manakala Seung Jae-Min Hyuk berpuas hati dengan AS$29,750 (RM130,126) dan pingat.

Sementara itu, Sze Fei percaya pemain lawan tidak berada pada kondisi terbaik dalam aksi final tersebut selain tuah banyak menyebelahi mereka sepanjang perlawanan yang berlangsung selama 45 minit itu.

“Saya fikir hari ini (semalam), kami banyak melakukan pukulan yang bernasib baik dan tuah memihak kepada kami. Selain itu, lawan juga tidak berada pada kondisi terbaik dan ia menjadi kelebihan untuk kami,” ujarnya.

Selepas ini, Sze Fei-Izzuddin akan membawa semangat juara itu bagi menghadapi kejohanan Terbuka Korea Selatan yang dijadualkan berlangsung di Seoul bermula esok hingga Ahad depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI