fbpx

Cari kelainan lawat Taman Kopi Yit Foh, Ladang Teh Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salah satu aktiviti menarik yang boleh dicuba pengunjung untuk terlibat salam dalam memetik daun teh di ladang. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Bagi peminat kopi dan teh serta mereka yang mahu mencari kelainan dalam aktiviti percutian di negeri Sabah, pelancong boleh melawat ke Taman Kopi Yit Foh di Tenom dan di Ladang Teh Sabah.

Taman Kopi yang terletak di Kampung Chinta Mata di Tenom itu  bukan sekadar menawarkan pengalaman melawat kilang kopi tetapi juga menjadi destinasi menarik untuk mereka yang mahu bercuti dan bersiar-siar menikmati pemandangan indah di sekitar kawasan berkenaan sambil menghirup minuman yang dihasilkan daripada biji kopi Robusta.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Sabah, Julinus Jimit berkata, taman kopi itu  kini menjadi perhatian pelancong bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga dari luar negara kerana  turut menawarkan kemudahan penginapan kepada pengunjung.

“Taman Kopi Yit Foh adalah lokasi terbaik untuk mencuba kopi tenom segar kerana biji kopi hasil daripada ladang itu  dipanggang menggunakan arang yang pastinya akan  meningkatkan aroma biji kopi tersebut sekali gus meninggalkan pengalaman unik kepada peminat kopi,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Selain itu, Sabah juga berbangga kerana memiliki Ladang Teh Sabah, salah satu daripada beberapa ladang teh organik di dunia.

 Daun Teh Sabah yang terbaik, dituai dari kaki Gunung Kinabalu yang terletak kira-kira 2,272 kaki dari paras laut itu kini menjadi pilihan pelancong kerana ladang yang terdapat di kawasan  bersuhu dingin di  tanah tinggi membolehkan hasil kualiti tuaian teh yang berkualiti tinggi dan segar.

Julinus menerangkan, tanpa sebarang pewarna tambahan dan bebas semburan kimia, Teh Sabah sememangnya kaya dengan rasa kerana pucuk daun pokok teh Camelia Sinesis yang dipilih selepas melalui proses yang sangat teliti kemudian dituai dan diproses untuk menawarkan pelbagai pilihan yang berinovatif.

Selain menikmati minuman teh segar di ladang itu, pengunjung boleh menjamu selera makanan popular di restoran di situ iaitu kuih lempeng .

Seperti Yit Foh, Ladang Teh Sabah juga memiliki sebuah resort yang dinamakan Sabah Tea Resort yang mana ia memberi kemudahan kepada pengunjung untuk menikmati percutian yang santai di samping pengunjung boleh menikmati pemandangan Gunung Kinabalu yang menakjubkan. 

“Tetamu yang bermalam mempunyai pilihan untuk menginap di rumah panjang, kabin, banglo atau bagi mereka yang gemar membuat stargazing dan tidur di bawah bintang, kawasan ini mempunyai tapak perkhemahan yang luas,” ujarnya.

Selain meninggalkan seribu kenangan bercuti, lawatan ke ladang teh juga memberikan manfaat pendidikan dengan mengajar pengunjung cara memproses daun teh. 

Pengunjung boleh mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti rekreasi di kawasan rekreasi Sapaon, mendaki denai ke puncak Bukit Kamunsu, atau mengikuti aktiviti berjalan malam untuk memerhati serangga yang unik. 

Rumah pokok yang terletak bersebelahan dengan restoran dan ladang rusa juga dibuka untuk pengunjung.

Bagi mereka yang meminati sejarah, pengunjung di Ladang Teh Sabah boleh singgah di tugu peringatan yang memaparkan kesan sejarah Perarakan Maut Perang Dunia Kedua. 

“Pakar telah mengesan laluan Sandakan Death March dan mendapati bahawa laluan yang dilalui oleh tawanan perang (POW) melintasi kawasan yang kini dikenali sebagai Ladang Teh Sabah. 

“Apabila menyedari kepentingan sejarah tapak tersebut, pengurusan Ladang Teh Sabah telah membina sebuah tugu peringatan,” ujarnya.

Pakej lawatan ke destinasi pelancongan tersebut boleh diperoleh melalui kunjungan orang ramai ke Matta Fair yang bakal berlansung pada bulan depan yang mana Taman Kopi Yit Foh, Tenom dan juga Ladang Teh Sabah akan menjadi pempamer dalam Zon Sabah. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI