PETALING JAYA – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) mencatat keuntungan bersih RM266.3 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2024 (1H2024), meningkat 4.8 peratus berbanding tempoh sama pada tahun 2023.
Peningkatan keuntungan bersih itu didorong oleh pendapatan bersih yang lebih tinggi dan peruntukan bersih untuk rosot nilai ke atas pembiayaan yang lebih rendah, diseimbangkan oleh jumlah overhed yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, pihaknya komited untuk memastikan kestabilan kewangan jangka panjang menerusi pertumbuhan strategik yang seimbang dan pengurusan aset yang berhemat.
“Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi, Kumpulan akan memberi keutamaan terhadap pengukuhan asas, pengurusan lembaran imbangan yang ketat dan penyelesaian inovatif yang membezakan Bank Islam dalam persaingan pasaran yang kian kompetitif.
“Fokus kami kekal untuk meningkatkan pendapatan berasaskan bukan dana, memperluaskan pengurusan kekayaan dan memacu pertumbuhan pembiayaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Selain itu, Mohd. Muazzam menerangkan, jumlah aset mengukuh 6.4 peratus kepada RM93.0 bilion setakat 30 Jun 2024, dirangsang oleh pertumbuhan dalam pembiayaan dan sekuriti pelaburan.
Aset bersih sesaham adalah lebih tinggi, iaitu RM3.35 berbanding 1H2023.
Peningkatan dalam pembiayaan kasar telah didorong oleh pertumbuhan sebanyak 4.4 peratus dalam pembiayaan pengguna dan 7.6 peratus bagi pembiayaan komersial.
Sungguhpun demikian, penyusutan dalam pembiayaan korporat telah menyebabkan jumlah pembiayaan kasar mencatat 2.7 peratus kepada RM68.1 bilion.
Akaun deposit dan pelaburan pelanggan meningkat sebanyak 8.5 peratus kepada RM78.5 bilion. -KOSMO! ONLINE