KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menafikan artikel ‘Gua kosong di bawah bandar raya Kuala Lumpur’ didakwa tulisan ahli geologis Dr. Sarah Jamal.
Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Prof. Madya Dr. Meor Hakif Amir Hassan berkata, semakan pihaknya mendapati tiada ahli geologis bernama Dr. Sarah Jamal yang berkhidmat di universiti berkenaan.
Katanya, nama Sarah Jamal juga tidak didaftarkan dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
“Kandungan artikel ini tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu. Staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India yang menyebabkan kehilangan nyawa.
“Ini memandangkan kerja-kerja SAR (mencari dan menyelamat) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan. Punca kejadian juga masih tidak dapat dipastikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, tular infografik dan artikel palsu di media sosial yang menimbulkan kebimbangan orang ramai berhubung keselamatan ibu negara sebagai sebuah bandar raya untuk dihuni.
Ia rentetan seorang pelancong wanita dari India dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh dalam insiden tanah jerlus berhampiran Masjid India, di sini, Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE.