MELIHAT alam semula jadi yang masih terpelihara keindahannya membuatkan Wan Nur Aishah Wan Noor rasa tenang.
Oleh itu, jika ada kelapangan, gadis berusia 22 tahun itu akan pergi ‘bermesra’ dengan alam semula jadi.
“Saya suka mendaki gunung dan pergi ke pulau untuk menyelam kerana alam semula jadi mampu memberi ketenangan dan kedamaian kepada saya.
“Namun, apa yang menyedihkan, saya melihat ada manusia yang tidak bertanggungjawab membuang sampah merata-rata sehingga mencacatkan keindahan alam semula jadi,” katanya.
Gadis yang mesra disapa Aishah itu merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor.
Ulasnya lagi, dia tidak suka melihat alam semula jadi dipenuhi dengan sampah sarap sehingga menyebabkan sesuatu kawasan menjadi kotor.
Malah, dia sendiri pernah melihat bagaimana sebuah pulau yang sering menjadi destinasi pelancong tercemar kerana sifat tidak bertanggungjawab masyarakat setempat kerana membuang sampah merata-rata.
Pemandangan alam semula jadi yang dipenuhi dengan sampah sarap akan membuatnya ‘sakit mata’.
Oleh yang demikian, Aishah sedar bahawa setiap lapisan masyarakat harus dididik dan disemai sikap menjaga alam sekitar.
Untuk tujuan tersebut, dia menyertai Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC).
Malah, dia dilantik menjadi presiden untuk kelab tersebut.
Menurut Aishah, RAS UiTM SC didaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar dan mereka akan menganjurkan program kesedaran terutamanya untuk komuniti.
“Kami bukan hanya menganjurkan program di universiti, malah kita akan dekatkan diri dengan komuniti dan itu merupakan matlamat utama kelab ini.
“Banyak program alam sekitar yang kami anjurkan melibatkan penyertaan komuniti untuk memberi kesedaran dan menyemai rasa cinta pada alam sekitar,” jelasnya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik.
Pelbagai program berkaitan alam sekitar telah dianjurkan oleh RAS UiTM SC, antaranya pengumpulan sisa elektronik atau e-waste, penanaman pokok bakau, mengitar semula plastik dan baju terpakai serta lain-lain lagi.
Mengulas lanjut, Aishah berkata, pada mulanya, dia menyertai kelab tersebut hanya sekadar untuk mengisi masa lapang dengan melakukan aktiviti bermanfaat.
“Sebenarnya, saya seorang yang introvert dan cuba untuk keluar daripada zon itu dengan melakukan perkara melibatkan ramai orang.
“Apabila saya masuk kelab ini, banyak kemahiran insaniah yang saya dapat belajar serta membina hubungan dengan mereka yang berkepentingan di dalam industri,” terangnya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai sebab utama memilih jurusan kejuruteraan awam, Aishah memaklumkan, pengaruh keluarga mendorongnya memilih bidang tersebut.
Ada abang dan kakaknya yang membina kerjaya sebagai seorang jurutera dan itu sedikit sebanyak mempengaruhinya.
“Selain itu, ayah saya juga merupakan seorang kontraktor dan rumah yang kami sekeluarga diami dibuat sendiri olehnya.
“Ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk menjadi seorang jurutera yang bagus.
“Selepas tamat pengajian, saya juga merancang untuk terus ‘terjun’ dalam dunia pekerjaan dan mengejar cita-cita untuk menjadi seorang jurutera,” katanya.