KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menampilkan aksi cukup mantap di perlawanan akhir bagi meraih kejuaraan pada Kejohanan Badminton Terbuka Jepun.
Pada aksi final yang berlangsung di Yokohama Arena sebentar tadi, pasangan No.12 dunia itu menewaskan juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae menerusi kemenangan straight set 21-19, 21-15.
Biarpun turun dengan status bukan pilihan, namun Sze Fei-Izzuddin mempamerkan aksi cukup baik sejak set pertama lagi apabila langsung tidak memberikan ruang buat pilihan ketiga kejohanan itu.
Meskipun cuba diberikan tentangan oleh Min Hyuk-Seung Jae, namun pasangan negara kekal fokus dan menjalankan tugas dengan cukup baik sebelum mencatat kemenangan 21-19 pada set pertama.
Semangat Sze Fei-Izzuddin terus membara pada set kedua apabila langsung tidak memberikan peluang buat pemain lawan untuk melakukan serangan sebelum memastikan gelaran menjadi milik mereka menerusi kemenangan 21-15.
Sebagai rekod, ini adalah kemenangan pertama mereka dalam tempoh hampir setahun selepas kali terakhir meraih gelaran pada kejohanan Abu Dhabi Masters yang berlangsung Oktober tahun lalu. – KOSMO! ONLINE