KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pihak yang mempersoalkan usaha murni kerajaan dengan membantu dan membela nasib rakyat Palestin boleh dianggap sebagai biadap dan tidak berperikemanusiaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, individu atau pihak tersebut tidak layak menjadi rakyat negara inu yang faham mengenai jiwa dan hati nurani manusia.
“Semalam, ketika Majlis Perasmian Penutupan Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak, saya terpanggil untuk menjawab telahan seseorang yang kebetulan bukan daripada kelompok pemerintah.
“Sarjana itu berkata, kalau bawa rakyat Palestin (ke negara ini), jangan jejak ke bumi Sarawak. Nak saya katakan ini adalah pandangan yang paling biadap, tidak tahu erti kemanusiaan.
“Mujurlah suara ini suara kerdil tapi jangan kita izinkan berterusan kerana jika kita izinkan dia membiak. Apa sahaja fahaman melampau, jangan kita biarkan kerana bibit itu jika diizinkan akan jadi barah termasuk suara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk al-Aqsa dan Palestin di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.
Ucapan tersebut dipercayai bagi merujuk sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Sarawak yang mahu keutamaan bantuan diberikan di dalam negara terlebih dahulu berbanding membawa rakyat Palestin untuk dirawat di Malaysia.
NGO tersebut dilaporkan berkata, sekiranya Perdana Menteri mahu membawa rakyat Palestin ke Malaysia, keputusan tersebut tidak seharusnya memaksa Sarawak untuk turut bersetuju. – KOSMO! ONLINE.