fbpx

Syamsul Yusof: Filemnya dahsyat, rumah tangganya lebur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SELEPAS setuju menceraikan Puteri Sarah, pada Jun 2023, Syamsul kembali ke 'pentas' perceraian apabila membuat permohonan pengesahan cerai terhadap Ira Kaza di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 19 Ogos lalu.

BAGAI dejavu apabila selepas setahun melafazkan talak terhadap pelakon Puteri Sarah Liyana, Syamsul Yusof bakal kembali ke mahkamah syariah bagi sebutan permohonan cerai terhadap isteri baharunya, Ira Kaza.

Seperti mengulang episod sebuah drama, hero tetap sama, yang berubah adalah watak heroin dengan tumpuan kini beralih kepada Faghirah Fatini Kazaruddin, 24.

Syamsul memfailkan perceraian terhadap Ira di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor pada 19 Ogos lalu.

Zip mulut

Apakah senario berlaku kepada Puteri Sarah yang berbulan-bulan turun naik mahkamah bakal berulang atau kali ini keputusan hakim lebih cepat?

Hanya empunya diri dengan anak kepada pelakon Kazaruddin Saisi itu yang mempunyai jawapan apatah lagi hingga saat ini cuma peguam pengarah sensasi terbabit iaitu Azmi Mohd. Rais bersuara.

Baik Syamsul, 40, mahupun Ira yang sebelum ini didakwa sudah berbadan dua, mengambil pendekatan kunci mulut daripada mengeluarkan sebarang kenyataan.

Namun, bagai dikatakan seorang peguam syarie, urusan cerai juga perlu mengikuti standard prosedur seperti pernikahan, tidak semudah ABC.

Ketika Syamsul berdiam, individu yang menjadi sasaran pertanyaan mengenai dirinya memfailkan permohonan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, pada 19 Ogos lalu adalah ibu bapanya.

YUSOF Haslam dan isteri hanya mampu mendoakan yang terbaik buat anaknya dan Ira Kaza.

Doa ibu bapa

Sebagai bapa, sutradara Datuk Yusof Haslam dan isterinya, Datin Patimah Ismail hanya mampu mendoakan yang terbaik selain menafikan mereka ‘bertepuk tangan’ mendengar khabar itu.

Hampir lima tahun terputus hubungan yang tercetus sejak awal konflik rumah tangga Syamsul dengan Puteri Sarah berlaku, Yusof setia menunggu kepulangan Syamsul ke pangkuan keluarga.

“Khalayak jangan salah faham mengatakan kami sekeluarga gembira mendengar berita itu (perceraian).

“Saya percaya setiap apa yang berlaku ada sebab mengapa Allah tentukan.

“Sejujurnya saya dan isteri terkejut mendengar berita perceraian itu, kami doakan yang terbaik kepada semua pihak,” katanya kepada media pada sidang media Festival Filem Malaysia (FFM), baru-baru ini.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul tetapi pengarah bergelar ‘Six Million Dollar Man’ itu hanya mampu berserah kepada Allah SWT agar semua urusan anaknya itu dipermudahkan.

Bukan calang-calang

Menyingkap portfolio penyambung legasi Yusof itu, kredibiliti Syamsul yang menggenggam trofi Pengarah Terbaik FFM ke-23 pada usia 25 tahun bukan calang-calang.

Bahkan kecemerlangan deretan naskhah pecah panggung garapan Syamsul yang bermula dengan filem Munafik melayakkan dirinya digelar The Twenty Million Dollar Man.

Hakikatnya berkajang-kajang kertas diperlukan untuk menulis satu persatu pencapaian penerima anugerah Pengarah Asia Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik 2017 di Kemboja atas tiket Munafik. Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan pula usah dipertikai. Dengan kutipan hampir 100 juta, siapa lagi yang mampu memecahkan rekodnya.

Ironinya, kini bukan kecemerlangan kerjaya menjadi sorotan mata ramai, sebaliknya isu kahwin cerai yang diperkatakan ketika beberapa filem baharu arahannya menunggu giliran masuk pawagam.

Apa pun, bak kata bapanya sedikit masa lalu, Syamsul individu bijak dan sudah matang untuk membuat keputusan sendiri sama ada dalam kerjaya mahupun urusan peribadi.

Selasa nanti (27 Ogos 2024) adalah hari penentu sama ada pernikahan yang berlangsung di selatan Thailand pada 6 Januari 2023 terlerai atau perlu mengikuti beberapa prosedur mahkamah sebelum Syamsul dan Ira rasmi berpisah. Apa yang pasti, ramai menantikan apa kesudahan kisah cerai Syamsul.

SYAMSUL dan Ira Kaza bernikah di selatan Thailand pada 6 Januari yang disahkan sendiri pengarah terbabit menerusi sebuah video dimuat naik dalam Instagram miliknya.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI