PENGURUSAN bakat menjadi elemen terpenting yang dipraktikan oleh skuad olahraga Johor hingga mendominasi acara itu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Tidak hanya menjaga menguruskan keperluan pelajar sekolah ‘berbakat’, Johor juga turut ‘menggari’ lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) supaya bakat yang dimiliki dapat terus diasah dengan lebih baik.
Koordinator skuad olahraga Johor, S. Ananda Raja, berkata pihaknya tidak rela membazirkan bakat atlet bagi mengelak mereka hanyut dalam dunia pekerjaan.
“Kita kena jaga atlet betul-betul terutamanya lepasan sekolah, mungkin ada yang terus bekerja lepas sekolah. Apabila sudah kerja mereka tidak akan kembali, tetapi kita nak mereka berada di satu tempat yang mereka boleh teruskan latihan dan belajar.
“Umar (Osman) datang daripada situlah (pusat latihan pusat negeri di Kluang). Masa pandemik dia tidak pergi ke kejohanan MSSM (Majlis Sukan Sekolah Malaysia), jadi apabila tidak pergi, jurulatih di sekolah sukan tidak nampak, tetapi kita di Johor sudah tahu.
“Habis SPM saya hubungi cikgunya untuk bawa ke Kluang, sekarang kita nampak hasilnya. Polisi saya tidak boleh berfikir tentang ‘aku, aku dan aku’ tetapi kita kena fikir, ‘kita, kita dan kita’,” katanya.
Johor menamatkan saingan olahraga sebagai kontinjen terbaik apabila meraih sembilan pingat emas, lima perak dan empat gangsa.
Umar muncul atlet terbaik skuad olahraga Johor apabila memenangi empat pingat emas.
“Kita buat (kejohanan) dua kategori iaitu bagi umum 13-15 tahun dan 16-19 tahun. Orang tanya kenapa 19 tahun, kita nak juga atlet lepasan sekolah, kita nak kalau boleh lepas SPM atlet tu balik ke sekolah lama dia untuk teruskan latihan.
“Kalau tidak ada pengurusan bakat, Umar mungkin tidak ada apa-apa. Sebab itulah saya katakan pengurusan bakat adalah perkara penting,” katanya.