TANJUNG MALIM – Seorang warga emas, Seffee Hussain, 66, tidak dapat melupakan fenomena kepala air yang berlaku pada Jumaat lalu sehingga menyebabkan kediamannya yang telah diduduki sejak 40 tahun lalu diseliputi lumpur separas betis.
Katanya, segalanya berlaku begitu pantas dan tidak banyak yang dia boleh lakukan selain menyelamatkan dirinya dan isteri.
“Semasa kejadian, hanya ada saya dan isteri kerana empat anak lain menetap di Kuala Lumpur. Ia berlaku pantas dan paras air semasa itu hingga paras pinggang. Tiada lain yang boleh dilakukan kecuali selamatkan diri bersama isteri,” katanya ketika ditemui di Kampung Pasir, Ulu Slim, Slim River, di sini hari ini.
Katanya lagi, fokus utamanya kini ialah membersihkan kediamannya yang diliputi lumpur berbanding memikirkan jumlah kerugian dialami.
“Jika difikirkan sangat (kerugian) tidak apa yang boleh dilakukan. Jadi bersihkanlah rumah terlebih dahulu, soal kerugian kita ganti secara berperingkat.
“Lagipun tinggal berdua sahaja dengan isteri dan berniaga sayur-sayuran dan buah-buahan secara kecil-kecilan dapatlah menampung kehidupan semasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE