TANJUNG MALIM – Pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Jamek Slim Village, Slim River, di sini ditutup kira-kira pukul 1 tengah hari tadi.
Pegawai Daerah Muallim, Mohd. Sabli Bakri berkata, hasil pemeriksaan bersama agensi-agensi terlibat seperti bomba dan polis mendapati keadaan lokasi bencana telah selamat.
“Bekalan air telah pulih selain semua mangsa telah pulang ke kediaman masing-masing,” katanya, di sini hari ini.
PPS tersebut sebelum ini menempatkan 14 keluarga merangkumi 53 mangsa, namun PPS Masjid Jamek Kampung Pasir masih menempatkan 100 mangsa.
Dalam pada itu, tinjauan di Kampung Pasir mendapati sebahagian besar mangsa mula membersihkan kediaman masing-masing susulan diliputi lumpur separas betis dan dilanda banjir setinggi pinggang. – KOSMO! ONLINE