fbpx

[VIDEO] Pengalaman sehasta daripada kematian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar video dikongsikan oleh Syis keadaan di tapak khemah Risda Eco Park sewaktu insiden kepala air Kampung Ulu Slim, Slim River pada Jumaat lalu.

 

PETALING JAYA – “Pengalaman sehasta daripada kematian, terima kasih Allah untuk peluang kehidupan ini,” demikian detik hitam dilalui seorang daripada mangsa yang terperangkap susulan insiden kepala air Kampung Ulu Slim, Slim River di Perak pada Jumaat lalu.

Lelaki tersebut, Syis Abdul Kadir, 35, menerusi video dimuat naik pada TikTok @syis.ak berkongsi insiden cemas dilaluinya bersama keluarga sewaktu menginap dan berkhemah di tapak rekreasi Risda Eco Park.

“Masa mula-mula sampai Jumaat pukul 3.30 petang, belum hujan dan sungai masih jernih. Pukul 6.27 petang, baru siap ‘loading’ barang dari kereta ke khemah, bunyi air tiba-tiba kuat, arus mula deras.

“Dua minit kemudian, air melimpah dari tebing dan dari atas. Seminit kemudian, air sudah sampai ke khemah saya. Antara dua pilihan, barang-barang dalam khemah atau bawa kereta naik ke tempat tinggi.

“Bye bye (selamat tinggal) barangan ‘camping’, laptop, tablet, pakaian dan makanan (dihanyut air deras),” katanya pada kapsyen video tersebut.

Syis berkata, kemudian berlaku gelombang pertama pada pukul 6.45 petang dan ketika itu, semua mangsa sudah berada di dewan yang mana mereka terkepung dengan air laju dan deras di sebelah kanan serta kiri.

Katanya, kira-kira 10 minit ia disusuli gelombang kedua iaitu detik-detik kemuncak dan kali ini, pentas dewan sudah jadi seperti pulau.

“Semua bertahan di pentas, anak-anak berkumpul baca ayat kursi ramai-ramai, geng laki azan di setiap penjuru, geng perempuan ‘call’ bomba.

“Malamnya kami bermalam di sini, dua bayi, lapan kanak-kanak, sembilan dewasa. Alhamdulillah, Allah mudahkan urusan kami,” katanya.

Syis yang juga seorang guru turut memuat naik satu lagi video keadaan pada hari Sabtu yang mana hujan sudah berhenti sekitar pukul 4 atau 5 pagi, manakala air mulai surut biarpun masih deras.

“Sungai semakin melebar, kerosakan teruk pada kabin dan tempat perkhemahan. Anggota keselamatan berkampung di seberang sana dan sepatutnya ada jambatan menghubungkan ‘campsite’, tapi hanyut dibawa arus.

“Pukul 10.45 pagi, misi menyelamat mangsa terperangkap bermula. Alhamdulillah semua berjaya diselamatkan,” katanya.

Lelaki tersebut turut mengucapkan penghargaan kepada semua anggota keselamatan seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam, polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta pelbagai pihak lagi yang bersungguh-sungguh menyelamatkan mangsa.

“Hanya Allah mampu balas kebaikan dan pengorbanan kalian,” katanya yang turut berterima kasih kepada Risda, keluarga dan rakan selain rakyat Malaysia yang mendoakan mereka.

Semalam Kosmo! melaporkan, bomba berjaya menyelamatkan 21 mangsa yang terperangkap di Risda Eco-Park, Kampung Ulu Slim, Slim River ekoran kejadian kepala air dan empangan pecah yang menyebabkan jambatan untuk ke pusat rekreasi terkenal itu runtuh.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon dilaporkan berkata, 21 mangsa itu merangkumi 14 dewasa dan tujuh kanak-kanak termasuk dua penduduk kampung yang terperangkap sama. – KOSMO! ONLINE

@syis.ak Pengalaman sehasta dari kematian. Terima kasih Allah untuk peluang kehidupan ini. @cikgu_teha_ahmad #risdaecopark #kepalaair #camping #campers #uluslim #slimriver ♬ original sound – SYIS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI