SETIAP negara mempunyai pelbagai perbezaan dari segi budaya, bangsa, geografi dan kemajuan masing-masing.
Ia juga mempunyai keluasan berbeza dari terkecil hingga terbesar.
Bagi beberapa negara yang terdiri daripada pulau terkecil di dunia, masing-masing berkeluasan kurang daripada 322 kilometer (km) persegi.
Jika digabungkan, saiznya besar sedikit daripada Rhode Island.
Terdapat juga beberapa negara kecil di dunia telah mengekalkan kemerdekaan mereka dan menjadi penyumbang kepada ekonomi, politik serta inisiatif hak asasi manusia dunia.
Dalam senarai kali ini, Panorama telah menyenaraikan lima negara terkecil di dunia berdasarkan laporan daripada portal, houghtco.com.
1. Kota Vatican (0.43km persegi)
Vatican City memegang gelaran negara terkecil di dunia. Negara ini sangat hebat kerana berpengaruh dari segi agama.
Negara ini berfungsi sebagai pusat rohani gereja Roman Katolik dan rumah Paus.
Kota Vatican, secara rasmi dipanggil Takhta Suci dan terletak di dalam kawasan berdinding di ibu kota Itali.
Negara kecil itu secara rasmi wujud pada tahun 1929 selepas Perjanjian Lateran dengan Itali. Jenis kerajaannya adalah gerejawi dan ketua negaranya adalah Paus.
Vatican City bukan ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan pilihannya sendiri.
Ia mempunyai populasi kira-kira 1,000 warga negara, tiada seorang pun daripada mereka merupakan penduduk tetap.
Walaupun begitu, ramai yang berulang-alik ke negara ini untuk bekerja.
2. Monaco (1.23km persegi)
Monaco negara kedua terkecil di dunia yang terletak di antara tenggara Perancis dan Laut Mediterranean.
Negara ini hanya mempunyai satu bandar rasmi iaitu Monte Carlo yang merupakan ibu kota dan kawasan peranginan terkenal untuk orang kaya.
Monaco juga terkenal kerana lokasinya di French Riviera, kasinonya (Kasino Monte Carlo), beberapa pantai kecil dan komuniti peranginannya.
Negara ini mempunyai anggaran penduduk kira-kira 31,813 orang.
3. Nauru (13.8km persegi)
Nauru merupakan sebuah negara pulau kecil yang terletak di Lautan Pasifik Selatan di wilayah Oceania.
Ia merupakan negara pulau terkecil di dunia dengan keluasan hanya 13.8 km persegi dan mempunyai populasi kira-kira 10,000 orang.
Negara ini terkenal dengan operasi perlombongan fosfat yang makmur pada awal abad ke-20. Nauru dahulunya dipanggil Pulau Pleasant, sebelum mendapat kemerdekaan daripada Australia pada tahun 1968.
Negara kecil ini tidak mempunyai ibu kota rasmi.
4. Tuvalu (16km persegi)
Tuvalu adalah sebuah negara kecil di Oceania yang terdiri daripada sembilan pulau.
Enam daripadanya mempunyai lagun terbuka ke lautan, manakala dua lagi memiliki kawasan daratan bukan pantai yang ketara.
Tiada satu pun pulau di Tuvalu mempunyai sungai dan tiada air bawah tanah yang boleh diminum. Oleh itu, semua air yang digunakan oleh penduduk Tuvalu dikumpulkan melalui sistem tadahan dan disimpan dalam kemudahan simpanan. Tuvalu mempunyai populasi kira-kira 11,733 dengan 96 peratus daripadanya adalah Polinesia.
Ibu negara kecil ini ialah Funafuti yang juga merupakan bandar terbesar di Tuvalu. Bahasa rasminya adalah Tuvalu dan Inggeris.
5. San Marino (38.6km persegi)
San Marino merupakan sebuah daratan terkurung yang dikelilingi sepenuhnya oleh Itali.
Ia terletak di Gunung Titano di utara-tengah Itali dengan menempatkan kira-kira 35,000 orang penduduk.
Negara itu mendakwa ia wilayah tertua di benua Eropah kerana diasaskan pada abad keempat.
Topografi San Marino terdiri daripada gunung berceranggah dengan puncak tertingginya adalah Monte Titano yang berketinggian 755 meter dari aras laut.
Titik terendah di San Marino pula adalah Torrente Ausa pada 54.8 meter.