KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia sedia berbincang untuk membawa masuk sekali lagi rakyat Palestin yang tercedera untuk dirawat di negara ini, jika ada keperluan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan mengenainya dengan pihak berkaitan.
“Kita akan berbincang (cadangan membawa masuk lebih ramai pesakit warga Palestin untuk dirawat di negara ini) cuma sekarang ini ia masih terlalu awal.
“Kita juga akan berunding dengan Mesir. Jadi kita tengok, kalau ada keperluan kita boleh bincang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Masjid Se-Malaysia untuk Al-Aqsa dan Palestin sempena Sambutan Hari Masjid Sedunia 2024 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ujarnya, tumpuan kini adalah merawat kumpulan rakyat Palestin yang dibawa masuk ke Malaysia, baru-baru ini.
Sebelum ini, pada 15 Ogos lalu Malaysia menerbangkan 41 rakyat Palestin yang cedera termasuk bayi berusia lapan bulan untuk menerima rawatan lanjut di sebuah hospital tentera di negara ini menerusi misi kemanusiaan kendalian Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM ) dari Kaherah ke Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, kira-kira 1,000 wakil masjid dan NGO, duta-duta dari perwakilan asing, para ulama serta pemerhati dari beberapa negara hadir dalam muktamar tersebut anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama beberapa pihak lain iaitu Aliansi Masjid Sedunia Mempertahankan Al Aqsa dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia. – KOSMO! ONLINE.