KLANG – Polis memburu beberapa buah kenderaan yang dipandu secara melawan arus sehingga tular dalam media sosial di Jalan Kem, Pelabuhan Klang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan awal mendapati beberapa kenderaan memandu dari Jalan Lebuh Raja Lumu menuju ke persimpangan Jalan Kem.
“Kejadian pada pukul 10 pagi itu berpunca daripada satu kemalangan melibatkan treler dengan kereta di Jalan Pintasan (Jalan Pelabuhan Utara menghala ke Jalan Pelabuhan Barat). Kemalangan menyebabkan aliran trafik sesak dan kenderaan bergerak perlahan,” katanya hari ini.
Menurutnya, kesesakan menyebabkan pengguna jalan raya memotong deretan kenderaan yang sedang bergerak perlahan. Kesalahan yang dikesan adalah memandu secara melawan arus dan memotong kenderaan lain di laluan tidak dibenarkan.
Tindakan mengesan semua kenderaan itu sedang dijalankan dan siasatan dibuka mengikut Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE