PETALING JAYA – Ketua jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui pasukannya mempamerkan aksi luar biasa selepas menewaskan Selangor FC 6-1 pada aksi final Piala FA malam tadi.
Menurut Bidoglio, pasukan memiliki keupayaan untuk menambah jaringan andai perlawanan masih berbaki tambahan 10 minit kerana kualiti yang ada pada barisan pemain cukup sempurna.
“Saya tidak pernah meragui keupayaan pasukan dalam usaha melakar kemenangan. Saya percayai 100 peratus dengan pemain saya, bos (Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim) dan barisan kejurulatihan.
“Andai permainan berlangsung 10 minit lagi, mungkin kami akan terus jaringkan gol kerana secara fizikal, pemain JDT sangat bagus dan saya sangat gembira dengan kesungguhan pemain malam ini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Selatan meraih kemenangan hasil jaringan hatrik Juan Muniz, Arif Aiman Hanapi, Bergson da Silva dan Heberty Fernandes.
Sementara itu, gol tunggal Gergasi Merah pula dijaringkan oleh pemain import, Alvin Fortes.
Kemenangan itu menyaksikan JDT menjadi pasukan pertama menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut sejak mendominasi bermula edisi 2022. – KOSMO! ONLINE