LONDON – Pemain baharu Chelsea, Joao Felix dijangka akan memperkuatkan kesebelasan utama pasukan menjelang aksi kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Wolverhampton Wanderers di Stadium Molineux malam ini.
Pengurus The Blues, Enzo Maresca percaya bekas pemain Atletico Madrid itu sudah bersedia sepenuhnya dari segi fizikal meskipun masih belum tahu mengenai falsafah bola sepak yang beliau terapkan.
Beliau turut memberi gambaran untuk menjadikan pemain antarabangsa Portugal itu sebagai penyerang tunggal dengan peranan ‘false nine’ berdasarkan pengalaman Felix beraksi di posisi tersebut.
“Dari segi pemahaman corak permainan pasukan, bagi saya dia belum tahu sepenuhnya. Bagaimanapun, saya yakin dia sudah bersedia dari segi fizikal kerana pernah diturunkan dalam perlawanan ketika bersama Atletico.
“Mungkin dia memerlukan sedikit masa tetapi dia mampu bermain dengan pasukan ini. Bagi saya, dia boleh melaksanakan tugas itu (penyerang) dengan baik selain membantu rakan sepasukan mendapatkan penguasaan bola,” katanya.
Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan, Cole Palmer tidak berdepan sebarang kecederaan serius selepas dia dilihat memegang bahagian hamstring selepas membantu Chelsea menewaskan Servette 2-0 pada playoff Liga Konferens Europa kelmarin.
“Dia ada rasa sesuatu pada hamstring tetapi tidak ada sebarang masalah kerana pasukan perubatan sudah melakukan pemeriksaan. Saya fikir tidak ada halangan untuk dia bermain Ahad nanti (malam ini),” ujar Maresca. – AGENSI