SEBAIK menandatangani kontrak baharu yang menyaksikan mereka kekal hingga ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA2028), beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedia membalas kepercayaan diberikan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Wooi Yik tanpa berselindung mengakui, keputusan untuk terus kekal bersama badan induk sukan badminton negara itu merupakan satu tindakan bijak memandangkan dia dan Aaron memiliki tugas yang belum selesai.
Dia juga turut menghargai sokongan serta keyakinan yang ditunjukkan BAM terhadap kemampuan mereka berdua meskipun usia sudah semakin meningkat menjelang bagi memburu pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik.
“Bagi saya, karier kami sangat penting kerana saya dan Aaron ada misi yang sama untuk berjuang ke arah LA2028. Kami sangat bangga kerana BAM terus menaruh sepenuh keyakinan terhadap kami.
“Sudah tentu Tan Sri (Mohd. Norza Zakaria) percaya dengan kami untuk melaksanakan tugas tersebut. Kami juga kekal di BAM kerana memerlukan fasiliti serta khidmat jurulatih dan ia adalah keputusan tepat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan insentif di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara semalam.
Pada majlis penyerahan insentif itu, Aaron dan Wooi Yik masing-masing menerima RM125,000 atas kejayaan mereka membawa pulang pingat gangsa pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 yang berakhir 11 Ogos lalu.
Sementara itu, barisan kejurulatihan dan staf sokongan turut mendapat tempias apabila menerima insentif keseluruhan berjumlah RM60,000.
Dalam perkembangan sama, Aaron memberikan sepenuh penghargaan BAM atas insentif yang diberikan selain berterima kasih kepada presiden, Mohamad Norza kerana sentiasa menyokong karier mereka.