TAMPIN – Fenomena air pasang besar menyebabkan beberapa lokasi di daerah Port Dickson mengalami masalah banjir sejak Selasa lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, fenomena berkenaan dicatatkan tertinggi berlaku semalam dan diburukkan lagi dengan hujan lebat berterusan lebih empat jam.
“Kejadian ini berlaku di banyak negeri. Bukan masalah perparitan tapi paras air laut lebih tinggi berbanding di darat. Bagaimanapun, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu melihat masalah ini supaya tidak berulang,” katanya ketika hadir ke Majlis Istiadat Konvokesyen Khatam Hafaz Al-Quran dan Anugerah Kecemerlangan Kali yang ke-13 bagi Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (Itqan), di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Port Dickson, Kapten (PA) Mohd. Azri Abu Hassan berkata, bermula semalam sehingga pagi ini, sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah berkenaan. – KOSMO! ONLINE